**Ayat Seribu Dinar**

**Ayat Seribu Dinar**
Mafhumnya:

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Monday, March 16, 2009

Al-Khawarizmi perkenal algebra, pakar aritmetik

SUMBANGAN ilmuwan Islam mengembangkan ilmu pengetahuan pada zaman mereka turut mencelikkan masyarakat dunia hari ini menerusi pembaharuan yang dibawa dalam bidang masing-masing.

Buktinya, kaedah campur, bahagi dan tolak yang dikembangkan agar menjadi lebih mudah oleh Al-Khawarizmi, tidak diubah hingga hari ini seperti pendekatan algebra serta algorithma.

Al-Khawarizmi atau Abu Abdullah Mohammad bin Musa adalah seorang pakar dalam bidang matematik dan astronomi yang dilahirkan di Khiwarizam (satu tempat dalam Russia kini).

Sewaktu pemerintahan Al-Makmum, beliau ke Baghdad dan berjaya mendapat penghargaan serta kedudukan apabila dilantik menganggotai Baitul Hikmah (Ketua Pustakawan al-Makmum) dan wakil delegasi ke luar negara.

Pencarian ilmu nombor warisan masyarakat Hindu membawa Al-Khawarizmi berjumpa seorang sarjana Hindu bernama Kankah. Beliau hanya berjaya menemuinya dalam percubaan kali kedua.

Sebelum itu, beliau pernah memujuk Kankah untuk mengajarnya, tetapi gagal. Apabila sekali lagi datang membawa harapan tinggi, akhirnya Kankah bersimpati lalu mengajar Al-Khawarizmi ilmu nombor Hindu.

Asas yang diperoleh daripada Kankah mendorong Al-Khawarizmi melakukan revolusi dalam bidang matematik yang berkembang ketika zaman Kerajaan Abasiyah.

Kemudian evolusi yang berlaku ketika pemerintahan Kerajaan Ummaiyyah mencorakkan pula asas huruf yang kini digunakan di kebanyakan negara di dunia.

Pencapaian paling ulung Al-Khawarizmi ialah apabila beliau memberi nilai kepada angka kosong sedangkan dalam sistem nombor Hindu, kosong tiada nilai.

Sehingga hari ini, istilah yang bermakna kosong digunakan bangsa Eropah sebenarnya berakar daripada istilah diperkenal Al-Khawarizmi sebagai sifar.

Beliau turut mengasaskan fungsi punca ganda dua dalam usahanya menyelesaikan beberapa masalah kiraan dengan simbol asal menggunakan huruf jim, kemudian diwarisi tokoh seperti Al-Uqlidisi dan simbol itu juga sudah berubah.

Al-Khawarizmi menyusun risalah kecil dalam bidang aritmetik yang dianggap sebagai pertama dalam bidang itu yang kemudiannya dikenali dengan nama Algorizam beberapa kurun selepasnya.

Beliau juga menghasilkan buku pertama dalam algebra yang dinamakan Aljabar wal Muqabalah, dibiayai oleh Khalifah Abbasiyyah, Abdullah Al-Makmun yang sentiasa memberi galakan kepada mereka ingin mempelajari ilmu pengetahuan.

Antara baris yang ditulisnya dalam buku itu berbunyi: “Imam Al-Makmum, Amil al-Mikminin memerintahkan saya menerangkan sesuatu yang masih samar dan memudahkan sesuatu yang sukar.

“Baginda juga memerintahkan saya mengarang sebuah buku ringkas mengenai pengiraan algebra dan perbandingan kerana ia amat diperlukan dalam pembahagian harta pusaka, wasiat, pembahagian hartanah perniagaan serta transaksi.”

Sesungguhnya Al-Khawarizmi yang meninggal dunia pada 232 Hijrah/814 Masihi di Baghdad, Iraq, mempunyai kedudukan penting dalam bidang matematik sama ada di Timur mahu pun di Barat.

Permulaan yang diperkenalkan beliau kemudian dikembangkan ilmuwan lain khususnya pengkaji Barat dalam kajian mereka.

Siri mengenai tokoh matematik itu turut memperlihatkan jasa Al-Khawarizmi yang turut mendapat komentar sebilangan tokoh sarjana Islam di pelosok dunia antaranya Nasaruddin Al-Tusi yang memperbaharui bidang trigonometri.

Kitab dihasilkan Al-Uqlidisi pula adalah antara bukti bahawa kaedah pecahan perpuluhan diasaskan dalam zaman Islam manakala Omar Khayam menjelaskan secara lanjut mengenai persamaan kubik.

Kini, bidang matematik di Malaysia seiring arus perdana seperti dibuktikan Pengarah Institut Penyelidikan Matematik Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Kamel Ariffin.

Beliau berjaya menghasilkan satu-satunya perisian komputer sepenuhnya menggunakan bantuan animasi untuk pembelajaran calculus sehingga mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.

No comments: